Umum

Kelantan tidak menerima bantuan banjir RM50 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang terjejas dengan banjir.

Namun, Kerajaan Negeri Kelantan mendedahkan, tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

“Mengikut janji Perdana Menteri, beliau nak beri bantuan banjir kepada Kelantan RM50 juta dan Terengganu RM50 juta.

“Sekarang bantuan itu disalurkan kepada JPP. Bagaimana kaedah JPP nak agih kepada rakyat Kelantan, itu kita (kerajaan negeri) tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir Perikatan Nasional (PN) Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam lawatan meninjau bencana di Kelantan pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri, mengumumkan bantuan segera banjir sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu.

Anwar berkata, bantuan awal itu bagi meringankan beban dua negeri berkenaan.

“Memandangkan banjir lebih parah dari biasa, saya bersetuju selepas mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri, kita meluluskan bantuan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

“Bantuan ini bagi membantu kebajikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan yang terkesan banjir,” katanya pada sidang media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

Menteri Besar Kelantan turut hadir ketika pengumuman itu. Selain Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainin Husin.

Anwar dilaporkan berkata, kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

“Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.

“Mangsa banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan kita serahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menguruskan perkara itu,” katanya ketika itu.

Pada 22 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika melawat kawasan bencana di Kemaman, mengingatkan supaya bantuan segera RM50 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu dan Kelantan digunakan secara berhemah untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang menyalurkan peruntukan itu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkoordinasi bantuan berkenaan bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan lain.

“Kita mengikut arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di mana arahan perbendaharaan harus dipatuhi.

“Saya akan koordinasi bersama-sama dengan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan juga APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta agensi-agensi yang lain agar wang bantuan banjir itu digunakan untuk mendepani permasalahan mangsa-mangsa banjir bukan digunakan untuk tujuan-tujuan lain, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top