Umum

Kes rasuah tender kementerian, SPRM sita 9 kenderaan Mewah

Gambar SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita 9 kenderaan mewah bagi membantu siasatan terhadap bekas setiausaha politik kepada bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berhubung kes meminta serta menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Menurut laporan media, sumber berkata, kenderaan yang disita dan dirampas itu ialah milik suspek.

“Kenderaan yang disita ialah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porsche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

“Kesemua kenderaan mewah tersebut kini disimpan di gudang sita SPRM,” katanya pada Sabtu.

Tambah sumber itu, dipercayai kenderaan-kenderaan mewah tersebut adalah hasil dari sumber rasuah yang telah diperoleh oleh suspek berkaitan tender di kementerian terbabit.

Selain itu, reman kedua-dua individu berusia lingkungan 40-an itu telah dilanjutkan tiga hari hingga 30 Januari.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Sabtu.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan reman lanjut terhadap 2 suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

PALING POPULAR

To Top