Umum

Kementerian Perpaduan Negara cadang pindaan Akta Rukun Tetangga

Gambar KPN

Kementerian Perpaduan Negara bercadang membuat semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012 seiring dengan cabaran dan keperluan masa kini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata satu bengkel pindaan akta itu telah dilaksanakan bagi membincang pelbagai cadangan pindaan termasuk pemanjangan tempoh pelantikan ahli jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) daripada 2 tahun kepada 3 tahun bagi satu penggal.

“Turut dibincangkan cadangan mengenai penggantungan keahlian Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan implikasi kepada pihak yang menghalang tugas SRS,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan 2023 yang bertema ‘Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Masyarakat Progresif’ di sini pada Ahad.

Aaron berkata pihaknya sedang memuktamadkan kerangka bagi memperkasakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai penggerak masyarakat yang progresif.

“Kementerian memberi fokus kepada 8 inisiatif bagi memastikan RT berfungsi sebagai entiti penting dan inklusif serta berupaya membangunkan masyarakat mampan dan progresif iaitu keselamatan komuniti, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan hidup serta warisan dan budaya,” katanya.

Seramai kira-kira 500 orang peserta telah menyertai Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor.

 

 

 

 

 

PALING POPULAR

To Top