Umum

PIBG MCKK selar penularan kejadian buli, bawa imej buruk kepada MCKK

Gambar Facebook

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Malay College Kuala Kangsar (MCKK) menyelar tindakan keluarga murid yang menularkan kejadian buli di sekolah berkenaan kerana ia dilihat memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada MCKK.

Pihak PIBG MCKK sudah mengambil maklum mengenai kes disiplin tersebut bahawa ia selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah.

Dalam suatu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook miliknya, pihak PIBG mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil oleh pihak sekolah perlu dihormati atas dasar pertimbangan sewajarnya demi kebaikan semua pihak, mengambil kira semua tatacara dan prosedur sewajarnya dipatuhi dalam mengambil keputusan yang dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana- mana pihak.

Pihak PIBG turut mengambil maklum ancaman penularan kes ini oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan 4 yang mahukan keputusan dan tindakan sekolah terhadap murid tersebut tidak diubah.

Menurutnya, PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa tersebut di dalam pengurusan sekolah ini.

Dalam hal yang berkaitan, PIBG MCKK menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman yang diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan 4.

“PIBG MCKK juga telah menerima laporan mengenai murid-murid MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan di sekitar Kuala Kangsar dan dicop sebagai pembuli. PIBG MCKK memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini,” katanya

Berhubungan situasi berkenaan, PIBG mencadangkan agar pelajar MCKK tidak dibenarkan keluar bersendirian ke pekan Kuala Kangsar bagi satu tempoh yang bersesuaian sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.

Selain itu, seiring moto sekolah “Fiat Sapientia Virtus”, pelajar tidak akan membalas sebarang serangan atau provokasi yang diterima daripada pihak luar dan akan membuat laporan kepada pihak sekolah sekiranya berlaku gangguan serangan atau provokasi oleh pihak luar sepanjang berada di pekan Kuala Kangsar.

Jelasnya, pihak MCKK akan membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada pelajar MCKK selain pihak kaunseling MCKK terus memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku di kalangan murid-murid MCKK.

“Pihak PIBG MCKK kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini.

PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah dan meyakini serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK.

“Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan Tuan Pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua murid-murid MCKK di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, telah tular di media sosial hantaran yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Sehubungan itu, pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan kejadian buli membabitkan pelajar lelaki Tingkatan 4 di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

PALING POPULAR

To Top