Umum

Kenyataan ‘Impian Malaysia’ Kit Siang cetus kontroversi

Gambar Facebook

Pemimpin Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Dilaporkan media, Kit Siang berkata demikian dalam ucapan hadapan pelajar Malaysia di sana berkaitan ‘Impian Malaysia’.

Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Kit Siang juga mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri dan berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang menjadi perdana menteri.

Kit Siang pada Khamis lalu mengesahkan beliau dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil keterangan dan memberi jaminan akan berjumpa pihak berkuasa berkenaan selepas pulang dari Scotland.

Susulan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menyatakan kenyataan veteran DAP itu menunjukkan sikap sebenar parti diwakilinya dan dianggap tidak sesuai dengan keadaan semasa di Malaysia.

“Beliau sepatutnya menghormati orang Melayu dan UMNO yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kit Siang nampaknya tidak pernah belajar daripada sejarah, apatah lagi menghormati hubungan sesama rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ucapan ‘Impian Malaysia’ di Manchester sangat mengguris perasaan orang Melayu di tanah air.

“Beliau mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu untuk menjadi perdana menteri, dengan sinis juga menyebut Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat bukan Melayu menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya kenyataan itu nyata mengguris perasaan orang Melayu dan menyokong tindakan orang ramai mengecamnya dengan berkata adalah wajar bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dikecam dan orang Melayu berasa marah.

Katanya, Kit Siang sepatutnya meletakkan keutamaan menghormati Kerajaan Perpaduan daripada cuba menjadi ‘perdana menteri’.

“Meskipun DAP berada dalam pakatan Kerajaan Perpaduan masa kini, beliau masih menunjukkan kebebalan,” katanya turut mendakwa kenyataan itu juga menunjukkan sikap rasis DAP.

“Dalam negara yang majoritinya orang Melayu, Kit Siang amat tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan kemarahan orang Melayu. Sekali lagi Kit Siang menyalakan api untuk membakar ‘jambatan perpaduan’.

“Tony Pua juga bermain api dengan kenyataan yang tidak baik beberapa bulan lalu. Kenyataan seperti itu hanya membuatkan banyak hati terluka, ramai orang menjadi marah dan meretakkan perpaduan yang sedia ada,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial sebuah hantaran yang dibuat di laman facebook Lim Kit Siang pada 30 November yang menyatakan “Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi seorang Perdana Menteri”.

Hantaran tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen, yang kelihatan kebanyakkannya tidak bersetuju dengan kenyataannya itu.

 

 

Sumber Berita Harian

PALING POPULAR

To Top