Umum

Qunut Nazilah di Pahang ditangguh sementara

Gambar Hiasan

Penangguhan sementara bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh negeri Pahang bukan atas tekanan mana-mana pihak atau arahan politik, sebaliknya ia adalah selaras sunnah Rasulullah.

Menurut Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, bacaan Qunut Nazilah yang telah dilaksanakan selama sebulan di Pahang sebagai solidariti kepada rakyat Palestin sebelum ini ditangguhkan sementara, berlandaskan sunah Rasulullah.

Beliau menerangkan, berdasarkan sebuah hadis, Rasulullah hanya melaksanakan bacaan doa itu hanya selama sebulan sebelum dihentikan.

“Kita telah maklum kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk membuat pemakluman kepada masjid dan surau berhubung penangguhan itu selepas sebulan ia dilaksanakan.

“Ia boleh diteruskan kembali kelak bagaimanapun ketika ini kita tangguhkan sementara dahulu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Abdul Rahman mengesahkan surat pemakluman bertarikh 7 Disember lalu kepada JAIP berhubung penangguhan itu dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Bagaimanapun beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang ingin meneruskan bacaan doa itu boleh diteruskan dan tiada halangan untuk berbuat demikian.

“Ini kerana ada pandangan bacaan doa itu boleh diteruskan selagi masalah atau musibah berlaku belum selesai,” katanya.

Mufti negeri itu mengulas isu penangguhan bacaan doa Qunut Nazilah di Pahang ekoran sesalinan surat pemakluman itu tular di media sosial yang mengundang pelbagai reaksi netizen.

Tinjauan di ruang komen memperlihatkan ramai yang tidak bersetuju dan minta bacaan doa itu diteruskan sebagai usaha solidariti kepada rakyat Paleatine yang masih menderita kekejaman rejim Zionis.

PALING POPULAR

To Top