Umum

Kes bunuh Zayn Rayyan, Polis teruskan ambil bukti DNA

Gambar Facebook

Polis hari ini teruskan usaha siasatan dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari kawasan rumah mangsa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang telah maut dibunuh.

Tiga anggota polis dari unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan memasuki kawasan kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini kira-kira jam 4.15 petang.

Turut kelihatan ibu bapa kanak-kanak autistik itu, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diberikan oleh pihak berkuasa atau ahli keluarga mangsa.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pemeriksaan dijalankan melibatkan 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.

“Jumlah keseluruhan penduduk yang diperiksa adalah seramai 5,628 orang dan setakat ini ujian DNA yang telah diambil melibatkan 228 individu.

“Siasatan dijalankan seramai 278 pegawai dan anggota termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan turut dibantu beberapa IPD lain,” katanya pada Ahad.

Terdahulu, dua ekor anjing pengesan (K9) dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA digerakkan ke sebuah stor milik salah seorang penduduk yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Idaman.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

PALING POPULAR

To Top