Umum

Kepakaran Nurul Izzah diperlukan bagi membantu mengurangkan hutang negara – M Kulasegaran

Pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi impak dan tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH).

Ramai yang mengatakan kerajaan baru ini menghalalkan ‘nepotisme’.

Terpanggil dalam menyuarakan topik hangat ini, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata pelantikan Nurul Izzah Ini diperlukan demi menghapuskan hutang negara yang diwarisi daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata bahawa PN telah  meninggalkan hutang yang besar sebanyak RM1.5 trilion.

Beliau juga menegaskan bantuan ini amat diperlukan dalam menghapuskan hutang yang disifatkan sebagai bencana kepada negara dengan harapan semua pihak perlu memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang langkah yang diambil oleh Kerajaan.

“Kerajaan Perikatan telah meninggalkan kita dengan hutang negara sebanyak RM1.5 trilion.

“Itu sangat besar dan kami memerlukan semua bantuan yang kami dapat.

“Nurul Izzah melakukan ini tanpa sebarang gaji, marilah kita menyokong kerajaan dalam menghapuskan bencana yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di Twitter hari ini.

Nurul Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantik beliau sebagai Penasihat Kanan Ekonomi sejak 3 Januari lalu.

Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.

“Seorang sahabat yang merupakan penyokong PH bertanya kepada saya, apakah pandangan saya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri?

“Maka, jawapan saya ringkas sahaja dalam Bahasa asing iaitu legally right but morally wrong (Betul dari segi undang-undang tetapi salah daripada segi moral.)” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) pula berpandangan Nurul Izzah tidak layak untuk dilantik sebagai penasihat ekonomi.

CME menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carmelo Ferlito berkata, walaupun Nurul Izzah adalah penasihat perdana menteri secara pro bono (percuma), bagaimanapun melantik penasihat yang tidak berkelayakan juga merupakan satu dasar yang tidak baik untuk dilaksanakan.

“Dasar buruk, walaupun dipandu oleh niat baik, boleh merosakkan negara. Kita telah melihat ini dengan siling harga atau sekatan pekerja asing,” kata CME lagi.

Sumber: MalaysiaGazette

PALING POPULAR

To Top