Politik

Keputusan tangguh atau teruskan PRN di Melaka, minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Selain itu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

Isu PRN ini tidak sepatutnya sampai pada tahap itu jika kepemimpinan UMNO tidak tergopoh gapah membuat keputusan meminta Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tadi kita adakan mesyuarat Kabinet, dan bincang tentang situasi di Melaka. Kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Ini kerana saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi kita tunggulah selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

“Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini”.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan untuk kerajaan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN di negeri itu.

Sebelum ini, beberapa pakar Perlembagaan dan kesihatan awam menyifatkan proklamasi darurat sebagai penyelesaian terbaik bagi mengelak PRN Melaka ketika negara masih berdepan wabak COVID-19.

Ia berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan situasi pandemik di Malaysia akan kembali serius jika PRN Melaka diadakan, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

UMNO bertindak demikian melalui Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas empat ADUN termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan daripada beliau berkuat kuasa 4 Oktober lalu

PALING POPULAR

To Top