Umum

Kerajaan digesa beri tumpuan kepada meluluskan dan memulakan projek baharu

Gambar Hiasan

Kerajaan digesa oleh seorang pemimpin dewan perniagaan untuk memberi tumpuan kepada meluluskan dan memulakan projek baharu.

“Kurangkan bercakap dan ambil lebih banyak tindakan,” kata Pengerusi Dewan Perniagaan Ireland Malaysia Donal Crotty.

“Tetapkan tarikh pelaksanaan program, letakkan angka pada perubahan cukai seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2024.”

Menurut laporan di FMT, Crotty berkata demikian susulan laporan penyelidikan pasaran mengenai kekecewaan berhubung permulaan yang perlahan bagi projek penting dalam agenda “Ekonomi Madani” kerajaan pimpinan PM Anwar.

Menurut ahli ekonomi Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, kadar pelaksanaan projek ekonomi utama yang lembap menunjukkan bahawa rangka kerja “Ekonomi Madani” kebanyakannya hanya di atas kertas.

Ferlito dilaporkan berkata, kemajuan yang perlahan dan kelulusan projek yang lembap boleh dikaitkan dengan Jemaah Menteri gabungan yang mempunyai “visi yang berbeza dan kadangkala bercanggah”. Pada masa yang sama, katanya, mungkin juga terdapat masalah sumber.

Beliau berkata, kerajaan, pusat penyelidikan dan komuniti perniagaan harus sedar bahawa untuk perubahan dilaksanakan dalam ekonomi negara, perlu lebih daripada pelan induk atau sebarang rancangan kerajaan.

“Sikap keusahawanan di lapangan yang akan mengubah landskap ekonomi. Ekonomi tidak boleh berubah semata-mata dengan niat,” katanya.

Crotty turut dilaporkan berkata, kemajuan perlahan dalam pelaksanaan projek mungkin disebabkan oleh enam PRN yang diadakan pada Ogos.

Katanya, pelabur memerlukan jaminan kerajaan stabil, konsistensi dalam dasar dan bukti dalam pelaksanaan.

“Sama sahaja dengan perniagaan. Pelanggan boleh tertarik dengan pemasaran, tetapi buktinya pada penyampaian, kualiti dan prestasi produk dan perkhidmatan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng sebaliknya berkata, kadar perlahan itu sendiri bukan semestinya suatu petanda buruk, terutamanya jika ia bermakna tadbir urus lebih baik dan rasuah berkurangan.

“Saya rasa ini isu permulaan, dan jika projek diteliti dengan lebih baik dan pandangan pihak berkepentingan yang terjejas diperoleh, ini adalah untuk kebaikan negara,” katanya.

“Bukannya dikatakan pada masa lalu, arahan pemimpin politik dipatuhi bulat-bulat, tetapi, kita dapat lihat penjawat awam kini lebih berhati-hati untuk memastikan tadbir urus yang baik, yang kadang-kadang dianggap lembap.”

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top