Umum

Kerajaan menjangkakan kutipan hasil tahun ini lebih rendah, berbanding RM294.4 bilion pada 2022.

Kerajaan memperuntukkan RM388.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun ini, lebih tinggi berbanding RM372.3 bilion yang dibentangkan kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum Parlimen dibubarkan.

Pada masa sama, kerajaan juga menjangkakan kutipan hasil tahun ini lebih rendah iaitu RM 291.5 bilion, berbanding RM294.4 bilion pada 2022.

Menurutnya, selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

“Dengan pembaharuan tatacara perolehan Kerajaan akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

“Atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5 peratus ketimbang 5.6 peratus pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.

“Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat.

“Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini.

“Ini untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berterusan pada masa mendatang,” ujarnya.

PALING POPULAR

To Top