Umum

Tiada GST, kerajaan perkenal cukai barang mewah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam ucapan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, Anwar yang juga menteri kewangan berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti ekonomi semasa yang tidak pulih sepenuhnya.

“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih lima peratus, kadar upah yang masih rendah.

“Maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” katanya.

GST mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus sebelum digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh pentadbiran PH pada September 2018.

Pemansuhan GST termasuk dalam manifesto PH ketika PRU 2018.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.

“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah,” katanya.

Katanya, antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah. 

Tambahnya, selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan juga akan mengkaji untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah. 

“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya.

Sumber: FMT Malaysia

PALING POPULAR

To Top