Umum

Tular kamera di tanda inap desa, seorang lelaki direman polis

Gambar Hiasan

Seorang lelaki berusia 20-an direman 4 hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang wanita diintip menerusi kamera tersembunyi di bilik air sebuah inap desa di Jelutong, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Timur Laut Razlam Ab Hamid lelaki tersebut ditahan di Kuala Lumpur petang Ahad hasil maklumat awam dan risikan oleh pihak polis.

“Polis juga telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya, lapor Bernama.

Difahamkan suspek merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis tersebut dan dipercayai turut menginap di inap desa yang sama, bersama beberapa lagi rakan mereka.

Mengulas lanju, Razlam berkata, polis mendapati kamera yang tersembunyi itu terhubung dengan telefon bimbit milik lelaki berkenaan.

Katanya, setakat ini, polis telah merakam keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa terbabit bagi membantu siasatan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang menemukan kamera kecil tersembunyi di dalam bekas pewangi di bilik air ketika bercuti di inap desa terbabit Selasa lepas.

PALING POPULAR

To Top