Umum

Kerugian bersih Genting Bhd mengecil kepada RM299.91 juta, umum dividen 9 sen

Kerugian bersih Genting Bhd mengecil kepada RM299.91 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 berbanding RM1.37 bilion yang direkodkan semasa tahun sebelum ini disebabkan prestasi bahagian riadah dan hospitaliti yang lebih baik berikutan kelonggaran sekatan COVID-19.

Pengendali resort bersepadu itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis berkata pendapatannya melonjak kepada RM22.38 bilion daripada RM13.53 bilion selepas disokong oleh prestasi hasil yang lebih kukuh daripada Resorts World Sentosa di Singapura, Resorts World Genting di Malaysia, perniagaan riadah serta hospitaliti di United Kingdam, Mesir, Amerika Syarikat (AS) dan Bahamas.

“Keuntungan sebelum cukai mencecah RM1.27 bilion pada tahun kewangan 2022 berbanding kerugian sebelum cukai sejumlah RM970.8 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021 susulan peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan (RM7.30 bilion) selain perbelanjaan pra-pembukaan yang lebih rendah

“Bagaimanapun, ini sebahagiannya telah diimbangi oleh susut nilai, kerugian pertukaran asing bersih yang lebih tinggi daripada penukaran pinjaman denominasi dolar US dan kos kewangan, terutamanya yang ditanggung oleh Resorts World Las Vegas apabila memulakan operasi pada 24 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan berasingan kepada bursa.

Selain itu, kos kewangan kumpulan Genting Malaysia Bhd turut bertambah disebabkan kos kewangan yang ditanggung bagi projek tertentu yang layak yang tidak lagi dijadikan modal pada tahun kewangan 2022 selepas projek itu siap.

Sementara itu, Genting berkata hasil daripada bahagian perladangan bagi tahun kewangan 2022 menokok selepas menerima sokongan daripada harga produk sawit yang lebih mantap walaupun ini kebanyakannya telah diimbangi oleh jumlah jualan produk sawit bertapis yang lebih rendah.

Sementara bagi bahagian tenaganya, pendapatan serta EBITDA dilaporkan menyusut disebabkan penjanaan Loji Banten yang agak rendah berikutan tempoh gangguan yang lebih lama iaitu 15 hari, tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh kesan daripada pengukuhan dolar AS.

“Dalam bahagian minyak dan gas, pendapatan serta EBITDA naik susulan purata harga minyak mentah global yang lebih tinggi dan kemantapan nilai dolar US semasa tahun kewangan 2022,” katanya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2022, Genting mencatatkan kerugian bersih yang lebih tinggi sebanyak RM168.72 juta daripada RM129.81 juta, tetapi perolehan mengembang kepada RM6.36 bilion berbanding RM4.84 bilion sebelum ini.

“Keuntungan yang agak sedikit pada suku keempat tahun kewangan 2022 telah dipacu oleh caj susut nilai yang lebih tinggi, kerugian pertukaran asing bersih yang tidak direalisasi serta kerugian dalam rosot nilai bersih,” katanya.

Lembaga pengarah juga mengisytiharkan dividen satu peringkat akhir sebanyak sembilan sen sesaham bagi tahun kewangan 2022, yang akan dibayar menjelang 20 April 2023.

Melangkah ke hadapan menjelang tahun kewangan 2023, Genting menjangkakan prestasi kumpulan mungkin terjejas oleh kelembapan dalam ekonomi global, memandangkan keadaan dasar monetari yang diperketatkan yang bertujuan menguruskan tekanan inflasi dan gangguan berterusan daripada konflik geopolitik yang masih berlaku dijangka terus menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Di Malaysia, pertumbuhan ekonomi diramalkan berterusan walaupun pada kadar yang lebih perlahan, dengan sokongan daripada permintaan domestik,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top