Umum

Kes libatkan isu Perlembagaan, Muhyiddin mohon dibicara di Mahkamah Tinggi

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya kes menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin, berkata permohonan itu difailkan pada 27 April lepas antaranya atas alasan kes tersebut melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, ia perlu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar hari ini, yang kemudiannya menetapkan 31 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.

Menerusi afidavit sokongannya, Muhyiddin, 75, berkata Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan atau memutuskan perkara-perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan hanya mahkamah atasan iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai kepakaran untuk memutuskan perkara sedemikian.

“Adalah lebih wajar bagi prosiding itu didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa, pengalaman luas serta pemahaman undang-undang mendalam untuk menentukan dan memutuskan isu-isu Perlembagaan,” kata Muhyiddin dalam afidavitnya.

Berhubung permohonan Presiden Bersatu itu untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Rosli berkata Timbalan Pendaftar Nurshafini Mustafha menetapkan 12 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 18 April lepas, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa telah menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat dan Nor Asma Ahmad selain Rosli turut dibantu peguam Datuk K. Kumaraendran, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Chetan Jethwani, Kee Wei Loon dan Teh See Khon.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top