Umum

Hisyam Teh Poh Teik ketuai pembelaan Siti Bainun

Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi kes mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella.

Peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berkata demikian ketika pengurusan kes prosiding permohonan rayuan penangguhan sabitan dan hukuman penjara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ahmad Bache.

“Saya dan seorang lagi peguam, iaitu Mohammad Farhan Maaruf akan bekerjasama dengan Hisyam dalam rayuan itu kelak,” katanya.

Untuk rekod, Hisyam merupakan peguam dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau turut membela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top