Umum

PM ulang pendirian tidak benarkan pengeluaran KWSP

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya untuk tidak membenarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarumnya.

Anwar berkata, meskipun perkara tersebut akan dijadikan sebagai polemik politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun wang pencarum mesti dijaga untuk kegunaan masa depan.

“Wang pencarum adalah seperti janji dan ‘akad’ yang digariskan di bawah perjanjian KWSP untuk kegunaan masa hadapan.

“Bagaimanapun, ia dibenarkan dikeluarkan sebelum ini berikutan wabak (Covid-19) itu,” katanya semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasa Damansara di sini pada Isnin.

Beliau turut menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang gesaan daripada mana-mana pihak agar pengeluaran lain dibenarkan.

“Kita mempunyai kecemasan (Covid-19) sebelum ini tetapi keadaan berubah. Rakyat kini dibenarkan pergi bekerja.

“(Dan) walaupun terdapat banyak tekanan politik untuk meluluskan pengeluaran, saya tetap dengan keputusan saya kerana KWSP adalah badan yang sah untuk melindungi wang pencarum sekarang dan untuk masa hadapan,” katanya.

Anwar pada 19 Mac berkata, pengeluaran caruman KWSP akan memberi kesan kepada dana pelaburan negara.

Susulan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top