Umum

Kesan teruk ubat darah tinggi, Najib dirujuk ke Hospital Kajang

Bekas perdana menteri Najib Razak yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram, berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, Najib akan dirujuk ke Hospital Kajang pada 2 petang ini susulan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara bahawa ubat tekanan tinggi yang diambil Najib telah berubah.

“Ia memberi kesan buruk dan keadaannya agak teruk, namun Najib bersedia untuk mengikuti prosiding kes ini hingga 12.30 tengah hari,” katanya menurut Sinar Harian.

Hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan disambung hari ini seperti dijadualkan.

Mahkamah kemudian menyambung prosiding mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-27, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau yang disabit hukuman 12 tahun penjara pada 23 Ogos lalu atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International menjalani hukuman di Penjara Kajang.

PALING POPULAR

To Top