Umum

Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal ditentukan hari ini

Siapa Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal ditentukan hari ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang dijangka berlangsung di Istana Melaka, jam 10 pagi ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi mempersembahkan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Sulaiman menyerahkan surat itu ketika pertemuan di Parlimen, kelmarin.

“Saya mengesahkan bahawa saya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk mengemukakan nama yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya di Bentong, malam tadi.

Isu pertukaran pemimpin negeri Melaka mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN negeri itu yang diadakan pada 20 November 2021.

Justeru, nama Pengerusi UMNO Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik Ketua Menteri baharu.

Sumber dalaman UMNO Melaka, memaklumkan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 dijangka berlangsung esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri.

Ab Rauf ketika dihubungi, enggan mengulas sehingga ada pengesahan rasmi daripada pucuk pimpinan UMNO.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top