Umum

KKM perhalusi gesaan mansuhkan lesen 24jam kedai makan

Gambar Hiasan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa lesen 24jam kedai makan dimansuhkan bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, pihaknya perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi memastikan isu tersebut dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.

“Kertas cadangan akan disediakan untuk penelitian dan tindakan seterusnya oleh KKM dan kerajaan,” katanya dilaporkan FMT.

Mengulas lanjut tentang dakwaan operasi kedai makan 24 jam antara punca utama obesiti di negara, Dzulkefly berkata, ia harus dibuktikan secara empirikal melalui kajian yang objektif dan menyeluruh.

Ujarnya, dikhuatiri kumpulan-kumpulan tertentu seperti petugas barisan hadapan dan sebagainya yang bergantung kepada operasi kedai terbabit berdepan kesukaran jika perkhidmatan tersebut dihentikan secara pukal.

Tambahnya, cadangan penutupan itu tidak dapat menjamin pengguna akan mencari alternatif lain memandangkan ada dalam kalangan mereka mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya telah lama menggesa kedai makan tidak beroperasi 24 jam selain menyatakan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan menyifatkan gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi serta gaya hidup masyarakat bagi memenuhi keperluan semua pihak.

PALING POPULAR

To Top