Umum

Tony Fernandes sambung perkhidmatan sebagai CEO Capital A Bhd untuk 5 tahun lagi

Gambar Facebook

Tony Fernandes telah menandatangani kontrak memperbaharui perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A Fam Lee Ee, lembaga pengarah telah meluluskan pakej insentif, yang dirancang untuk menyelaraskan kepentingan CEO dengan pemegang saham, dan memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemampanan kumpulan.

“Peranan beliau merangkumi mengemudi Capital A ke arah memanfaatkan potensi nilai pemegang saham yang dipertingkat melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan di segenap entiti kumpulan dalam Capital A,” katanya pada taklimat media hari ini.

Katanya, pakej insentif dan perinciannya akan dibentangkan kepada pemegang saham untuk kelulusan mereka pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.

“Fernandes telah memperlihatkan kebolehan yang tiada tandingan untuk mentransformasi Capital A dalam memacu pertumbuhan dan memberikan pulangan kewangan, meraih reputasi sebagai antara CEO dunia yang cemerlang,” katanya.

Fam berkata, Fernandes telah menetapkan Capital A pada laluan strategik yang baik untuk penciptaan nilai yang berterusan, dan lembaga pengarah memutuskannya demi kepentingan pemegang saham untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, Fernandes berkata, beliau juga akan menumpukan memberi semula nilai terhadap pemegang saham dalam tempoh barunya ini di samping menghasilkan strategi jangka terhad untuk kumpulan, meninggalkan status PN17 dan mengukuhkan lembaran imbangannya.

Selain memperbaharu tempoh itu, Tony juga dilantik selaku penasihat dan pengelola untuk CEO AirAsia Aviation Group memandangkan kumpulan syarikat penerbangan itu memulakan era baharu transformasi dan pertumbuhan.

Pengerusi AirAsia Aviation Group Jamaludin Ibrahim berkata, Fernandes akan menawarkan pemerhatian strategik terhadap AirAsia Aviation Group, meliputi rancangan pengembangan dan penggantian serta menjadi saluran utama antara Capital A dan ekosistem perniagaan penerbangan untuk memastikan keseluruhan peluang bersama dimanfaatkan.

PALING POPULAR

To Top