Umum

Kos haji dijangka naik 11% tahun depan

Kos bagi menunaikan ibadah haji dijangka meningkat sebanyak 11 peratus secara purata pada tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, peningkatan itu merupakan rentetan keadaan ekonomi pasca pandemik Covid-19 yang lepas.

Kenaikan itu dianggarkan menjadi hampir dua kali ganda (11 peratus) susulan peningkatan kadar inflasi, situasi mata wang semasa dan juga Cukai Nilai Tambah (VAT) Arab Saudi yang telah dinaikkan sekitar lima hingga enam peratus,” katanya pada sidang di media Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M.

Tambah Azman lagi, perubahan pada sistem mereka (kerajaan Arab Saudi) termasuk bagi permohonan visa secara tidak langsung mempengaruhi kos ibadah haji.

Sehubungan itu, TH akan teruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi mengurangkan beban jemaah golongan B40 dan M40 yang ingin menunaikan ibadah haji.

“Sebanyak RM265 juta telah diberikan pada musim lalu, Insya-Allah kita akan meneruskan bantuan berkenaan kepada bakal jemaah yang memerlukan” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang berucap pada majlis yang sama.

Katanya lagi, “Bantuan secara bersasar ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban tanggungan TH yang terlalu tinggi keran perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir sembilan juta pendepositnya.”

Bagaimanapun, beliau turut menyeru bakal jemaah haji yang akan datang memenuhi konsep ‘Istito’ah’ atau berkemampuan atas kesedaran ini untuk membuat bayaran penuh kos haji bagi membolehkan TH menumpukan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

“Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji bukan sahaja menghayati konsep Istito’ah tetapi akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top