Umum

Yasin diperintahkan membela diri atas 3 pertuduhan berkaitan dadah

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman diperintah bela diri oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Hakim Faiz Dziyauddin membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Yasin.

Terdahulu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan bermula 28 Ogos lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ahli kimia, Dr J Saravanan Kumar, pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz dan pegawai sains (kimia hayat) di Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Rusli Ibrahim.

Saksi lain yang dipanggil ialah pakar bioteknologi tumbuhan, Prof Dr S Sreeramanan dan Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara Yasin di wakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan Yasin dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, Yasin berdepan satu lagi pertuduhan, dimana penyayi tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Tambahan lagi, Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan, yang juga diakui tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

PALING POPULAR

To Top