Umum

Kos penyediaan LRT Johor dianggar RM16.7 bilion berbanding RM7 bilion bagi ART

Gambar Facebook

Kos keseluruhan penyediaan infrastruktur transit aliran ringan (LRT) di Johor dianggarkan menelan belanja RM16.7 bilion, berbanding RM7 bilion bagi penyediaan infrastruktur transit aliran autonomi (ART).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, jumlah itu adalah berdasarkan analisis terperinci perbandingan antara sistem LRT dan ART, susulan pembentangan daripada dua konsortium yang mencadangkan sistem pengangkutan awam LRT dan ART.

Katanya, sistem LRT memerlukan reka bentuk baharu untuk seksyen bertingkat serta memerlukan kelulusan ‘railway scheme’ selain memerlukan pengambilan tanah untuk depoh di Desa Jaya dan pengambilan tanah seluas dua hektar bagi landasan untuk switching/shunting.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai perkembangan kajian LRT di Johor Bahru pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail

Katanya lagi, satu jawatankuasa khas melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MoF), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) diadakan Disember tahun lalu bagi menyemak hasil analisis dan cadangan itu.

Jawatankuasa khas itu bersidang dua kali termasuk mendengar pembentangan daripada dua konsortium yang mencadangkan sistem pengangkutan awam LRT dan ART.

Fazli yang juga ADUN Bukit Pasir berkata antara asas pertimbangan yang ditekankan kerajaan ialah sistem pengangkutan yang akan dibangunkan ini dapat disiapkan pada akhir Disember 2026 selaras tarikh bermulanya operasi rapid transit system (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura.

“Kesesakan akan berlaku di Stesen RTS Bukit Chagar sekiranya perkhidmatan penyuraian penumpang (ART/LRT) tidak disiapkan selaras permulaan operasi RTS.

“Justeru, kerajaan negeri menyokong cadangan pembinaan elevated ART (E-ART) untuk dibangunkan di Bandaraya Johor Bahru bagi menggantikan sistem bus rapid transit (BRT) yang dibatalkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top