Umum

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka dibangunkan di Iskandar Malaysia & Pengerang

Gambar Facebook

Kawasan seluas 3,505 kilometer persegi di Iskandar Malaysia dan Pengerang dijangka akan dibangunkan sebagai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Pasir Gudang dan Kota Tinggi.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz, Johor telah mencadangkan 16 sektor ekonomi yang dijangka dapat memberikan limpahan sosioekonomi antaranya sektor elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, kimia khusus, logistik, kesihatan serta pendidikan.

Sektor lain yang dicadangkan termasuk kewangan dan perkhidmatan perniagaan, tenaga, ekonomi digital, pelancongan, makanan dan teknologi pertanian, industri kreatif, industri halal serta perkilangan.

Namun beliau juga berkata perkara ini masih dalam perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan apabila semua maklum balas serta pandangan telah diperhalusi dan diambil kira.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hasrunizah Hassan (UMNO-Pulai Sebatang) dan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) mengenai status pelaksanaan dan butiran projek JS-SEZ pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, pada hari Ahad.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata JS-SEZ dapat melonjakkan sektor ekonomi Johor serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri Johor.

“Kita juga telah menggariskan sasaran makro dan indikator yang hendak dicapai melalui pembangunan JS-SEZ, ia mampu menjadi pemangkin ataupun booster kepada kejayaan agenda Maju Johor 2030, pertamanya, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 billion melalui pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

“Kedua, pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 sebulan dan ketiga, 400,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri mampu menerapkan model pembangunan dan kemajuan di Shenzhen, China untuk diterjemahkan dalam JS-SEZ di negeri ini.

Ini berikutan sesi libat urus yang diadakan bersama lebih 40 syarikat pelabur berpotensi di Shenzhen yang mendapat maklum balas positif setelah majoriti mereka cukup yakin untuk melabur di Johor.

“Keyakinan ini berasaskan kepada faktor-faktor antaranya kedudukan geografi Johor yang sangat strategik dan ketersediaan tanah untuk pelbagai sektor ekonomi.

“Selain itu, Johor juga mempunyai infrastruktur yang baik meliputi pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti bahkan kos menjalankan perniagaan meliputi kos tanah dan sumber manusia yang kompetitif.

“Kestabilan politik dan dasar mesra pelabur yang jelas juga menjadi faktor yang menarik minat pelaburan untuk berlabur di negeri ini,” katanya.

Pada 11 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dengan Singapura.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong.

 

 

PALING POPULAR

To Top