Umum

KPDN laksana sesi libat urus berterusan pantau bekalan, harga barang

Sesi libat urus berterusan antara kementerian dan agensi akan dilakukan bagi memastikan bekalan barang makanan mencukupi, selain harganya stabil sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa mengadakan perbincangan biarpun isu rantaian bekalan dan cuaca sering menjadi pemboleh ubah dalam menentukan harga barangan makanan.

“Dalam konteks Ramadan dan Hari Raya, sayur antara bekalan yang menjadi kebimbangan, seperti kubis, kacang panjang, tomato dan cili.

“Contohnya semasa berlaku banjir di Johor, kita bertindak cepat untuk melihat satu lagi kawasan pengeluaran sayur iaitu di Cameron Highlands. Faktanya pengeluaran di Cameron Highland sepanjang bulan ini masih dapat menampung kebun sayur yang musnah di Johor.

“Ada barang yang kita tak boleh kawal semasa musim tengkujuh di Pantai Timur, seperti harga ikan, harga cili merah dan hijau naik sampai RM30 tapi selepas monsun berakhir, harga turun.

“Jadi faktor cuaca dan bekalan menentukan pemantauan harga yang kita jalankan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speedmart di cawangan Bukit Jalil, pada Khamis.

Pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah di seluruh 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara ini meliputi aktiviti Jualan Rahmah selama sebulan sehingga 22 April 2023, melibatkan 150 produk barangan asas dan perlu seperti beras, susu tin, air minuman, ketupat mini, kordial, barangan pencuci, mentega dan biskut raya.

Kesemua barangan ini ditawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 40 peratus, berbanding harga jualan murah sedia ada.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top