Umum

Shahidan persoal pendirian kebebasan bersuara PH selepas akaun TikTok disekat

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung hak kebebasan bersuara selepas akaun TikTok miliknya disekat ketika berucap dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

Menurut Shahidan, akaun TikTok miliknya disekat selama 10 minit apabila giliran beliau berucap pada sesi berbahas peringkat jawatankuasa yang mana beliau hanya diberi masa selama lima minit.

Wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan menyekat akaun media sosialnya itu menghairankan apabila beliau tidak menyentuh apa-apa topik sensitif, malah sedang memuji kerajaan.

“Saya tidak patut dihalang sebab saya bercakap di Parlimen.

“Hak saya dinafikan bukan saja oleh pelbagai pihak tetapi TikTok kerana pihak kerajaan telah berbincang dengan TikTok,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Di antara perkara yang saya tidak akan sentuh ialah raja-raja, agama dan bangsa. Kalau kita sentuh (topik ini) tidak akan ada kekebalan di Parlimen.

“Tetapi untuk lain kita bebas. Kenapa dibuat begini? Kenapa nak sengsarakan orang yang bercakap tentang masalah rakyat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau kos sara hidup yang meningkat.”

Mengulas lanjut, Shahidan turut mengingatkan kerajaan hak kebebasan bersuara adalah antara perkara yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau mempersoalkan keadaan seperti sudah berubah apabila antara langkah awal yang dilakukan PH sebaik memerintah ialah melakukan perbincangan dengan pihak sosial media.

“Mereka telah merujuk kepada Perkara 10(1)(a) Lembaga Persekutuan yang memperuntukkan setiap warga Malaysia mempunyai kebebasan dan bersuara.

“PH berjuang habis-habisan mengenai hak dan kebebasan. Bila perintah, perkara pertama mereka lakukan ialah berbincang dengan dengan pihak sosial media,” katanya.

Dalam maklum balas kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching kemudian menafikan pembabitan kerajaan berhubung sekatan terhadap akaun TikTok Shahidan.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top