Umum

Kumpulan peguam bidas siasat himpunan solidariti Muhyiddin

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membidas pihak berkuasa berhubung siasatan yang dijalankan ke atas perhimpunan untuk menunjukkan sokongan kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menurut LFL, tindakan itu mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan selama ini hanya bersikap “retorik” semata-mata bagi menghalalkan perhimpunan aman.

“Siasatan polis adalah menindas, tidak perlu dan tidak sesuai dengan mana-mana kerajaan atau pemimpin yang mendakwa sebagai ‘reformis’.

“Perhimpunan di SPRM berlangsung secara aman,” kata Pengarah LFL, Zaid Malek, menurut laporan MalaysiaNow.

“Pakatan Harapan, yang kini menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Persekutuan, selama ini secara konsisten menyokong hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun tanpa gangguan polis. Adakah itu semua retorik semata-mata?,” katanya.

Zaid sehubungan itu menggesa agar semua siasatan polis dihentikan serta-merta, sambil menambah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti mengisytiharkan secara terbuka bahawa tiada “tindakan lanjutan terhadap mana-mana perhimpunan aman atau perhimpunan pada masa depan”.

Polis sebelum ini dilaporkan akan memanggil pemimpin politik dan mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya, ketika Muhyiddin disoal siasat selama lebih lapan jam sehari sebelum beliau didakwa atas tuduhan rasuah, Jumaat lalu.

LFL berkata perhimpunan dibenarkan mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat Malaysia “tanpa mengira kumpulan politik”.

“Perhimpunan awam boleh diadakan secara mendadak sebagai tindak balas segera kepada sesuatu acara, sama seperti yang berlaku dalam kes perhimpunan bagi menyokong Muhyiddin Yassin di ibu pejabat SPRM,” katanya, sambil menambah bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) yang berkuat kuasa semasa pentadbiran Barisan Nasional adalah bercanggah dengan perlembagaan.

“Ini adalah pendirian yang sentiasa diambil oleh PH sewaktu menjadi pembangkang. PH menegaskan bahawa ia adalah hak asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan kita yang tidak boleh disekat oleh APA.

“Adalah ini jelas sikap kepura-puraan dan ‘double standard’ bagi kerajaan pimpinan PH untuk mengetuai tindakan keras terhadap perhimpunan awam secara aman yang diadakan oleh pembangkang sekarang.”

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top