Umum

Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi MARA

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut memaklumkan beliau sendiri menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementerian itu, kelmarin.

“(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya, pada hari Jumaat yang lalu (kelmarin),” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diminta memberi komen berhubung foto beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” jelasnya.

Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter semalam mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Jawatan Pengerusi MARA sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.

Semalam, Asyraf Wajdi memuat naik resume beliau di Facebook dan memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja.

Sebelum ini, beliau menarik perhatian apabila tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top