Umum

Muhyiddin didakwa lagi gubah wang haram RM5juta

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5juta, tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri dengan nama sebenarnya, Mahiaddin Md. Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan dalam akaun Ambank milik parti itu.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank Cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, dekat sini pada 7 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Ahmad Akram Gharib, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Pasukan tersebut memohon jaminan ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini iaitu RM2juta bersama dua penjamin dan penyerahan pasport digunapakai dan kes dipindahkan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pembelaan pula terdiri daripada Datuk K.Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Gabra, Mohd. Isa Mohamad Basir, Shahir Ab. Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi, Raja Syuhada Raja Khairuddin tiada bantahan mengenainya.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top