Umum

Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

Akaun terbaru aplikasi TikTok milik Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sudah meraih lebih 160,000 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam, sebagai tanda populariti ahli politik PAS itu susulan serangan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan Harapan dan Umno.

Semakan MalaysiaNow di aplikasi itu mendapati akaun dengan nama @sanusimdnor74 itu kini mempunyai lapan klip video dengan 164,300 pengikut dengan hampir 100,000 sukaan setakat ini. 

Akaun baharu itu diwujudkan bagi menggantikan akaun asalnya di bawah nama pengguna @sanusimdnor yang nampaknya disekat, mendorong Sanusi menuding jari kepada kerajaan yang katanya cuba menutup mulutnya menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dipetik dalam satu ceramah di Baling, Sabtu lalu. 

Difahamkan bahawa akaun TikTok asal telah dipulihkan dan boleh diakses semula pagi ini.

“Yang (akaun baru) dibuat semalam apabila TikTok asal disekat. 

“Tapi yang asal pun dah okay balik dah pagi ni. Depa takut,” kata Setiausaha Akhbar Sanusi, Muhamad Mat Yakim kepada MalaysiaNow.

Kerajaan menafikan bahawa telah menyekat akaun TikTok Sanusi, mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan mana-mana akaun pengguna di negara ini kerana platform media sosial itu dimiliki oleh firma teknologi China, Bytedance Ltd. 

Bagaimanapun, sejurus selepas gabungan PH-BN membentuk kerajaan tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan TikTok kerana aplikasi itu dikatakan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15. 

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menulis surat kepada syarikat media sosial meminta kerjasama untuk menghapuskan siaran oleh pengkritik kerajaan.

Sekurang-kurangnya dua permintaan sedemikian kepada Twitter telah ditolak oleh platform itu dalam tempoh dua minggu lalu. 

Twitter berkata ia tidak dapat memenuhi permintaan sedemikian oleh agensi kerajaan kerana platform itu mempunyai dasar untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top