Umum

Lagenda bola sepak, Harun Jusoh meninggal dunia

Gambar FB FAM

Legenda bola sepak negara, Harun Jusoh, 75, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Batu Burok, setelah 5 tahun menderita sakit radang sendi.

Menurut isteri Allahyarham Harun, Sharifah Azizah Syed Omar, 72, arwah suaminya sebelum ini menghidap sakit saraf selepas bersara daripada bola sepak tetapi masih boleh bergerak dan bekerja.

Bagaimanapun, kesihatan arwah semakin merosot selepas menghidap penyakit radang sendi sejak 2018 dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas bagi kelangsungan hidup.

Sharifah Azizah berkata jenazah suaminya akan disembahyangkan di Masjid Batu Burok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Gong, Baru Burok.

Sepanjang kariernya, bekas pemain sayap kiri Malaysia dan Terengganu itu pernah beraksi di Sukan SEA 1969 di Myanmar dan Sukan Olimpik Munich 1972 selain membantu skuad kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka 1973.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sharifah Azizah Syed Omar, 71, dan empat orang anak.

 

 

PALING POPULAR

To Top