Umum

Lagi ahli Parlimen kerajaan dilantik terajui GLC

Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR dinamakan sebagai pengerusi bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), lantikan politik terbaru untuk mengetuai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

MDEC ialah GLC yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai oleh Fahmi Fadzil dari PKR. 

Kenyataan daripada MDEC berkata pelantikan ahli Parlimen Ledang itu berkuat kuasa pada 1 April. 

MDEC juga berkata Syed Ibrahim mempunyai “pengalaman luas dalam bidang telekomunikasi”, bekerja di Telekom Malaysia selama 25 tahun.

“Beliau juga mempunyai pengalaman termasuk dalam bidang pengurusan perhubungan pelanggan, pengurusan projek, pemasaran dan jualan perdagangan, segmentasi dan analisis serta pengurusan teknologi maklumat dan sistem. Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengurus Besar,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Korporat MDEC.

Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikritik sejak akhir-akhir ini berhubung beberapa siri lantikan politik di agensi kerajaan dan GLC. 

Ini termasuk pelantikan dua ahli politik Umno untuk mengetuai badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi Bumiputera – Asyraf Wajdi Dusuki dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Ahmad Jazlan Yaakub di Felcra. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik dari PKR dinamakan untuk mengetuai cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan, MyCreative Ventures Sdn Bhd, dan Husam Musa dari Amanah dilantik sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd. 

Bulan lepas, Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR dilapor dilantik mengetuai Tekun Nasional, sebuah agensi yang ditugaskan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada perniagaan Bumiputera yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dilaporkan juga bahawa Ahli Parlimen PH Sany Hamzan dinamakan sebagai timbalan Abdullah, manakala bekas presiden Upko Bernard Dompok dilantik sebagai pengerusi SME Corp, juga agensi di bawah kementerian yang sama.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mempertahankan siri lantikan politik itu, dengan mengatakan ia tidak melibatkan GLC yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Mereka yang dilantik sekarang bukan di syarikat seperti itu, tetapi di badan berkanun, pihak berkuasa dan sebagainya.

“Mereka adalah badan kawal selia dan tidak melibatkan perniagaan dan sebagainya,” kata Loke.

Kenyataan Loke itu mendapat respons sinis daripada seorang diplomat veteran pedas baru-baru ini yang mengecam deretan lantikan politik yang melibatkan mereka yang bersekutu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Loke dan yang lain mungkin berhempas pulas untuk menghalalkan pelantikan dilakukan Zahid tetapi rakyat tidak begitu mudah tertipu.

“Apa yang mereka lihat hanyalah ahli politik yang berkomplot dan tidak berprinsip yang tidak boleh dipercayai untuk menunaikan janji mereka dan memenuhi cita-cita sendiri,” kata bekas Duta Besar Malaysia Dennis Ignatius.

Sementara itu, seorang aktivis masyarakat sivil memberi amaran melantik ahli Parlimen untuk mengetuai mana-mana agensi kerajaan akan menjejaskan tugas hakiki mereka sebagai wakil rakyat untuk memantau eksekutif. 

“Dengan pelantikan sedemikian, mereka mungkin menerima wang tambahan, faedah dan kuasa, melebihi elaun ahli Parlimen,” kata Aktivis Hak Asasi Manusia Charles Hector.

“Jika amalan yang sama dibuat oleh rejim BN sebelum PRU14 dikekalkan, termasuk lantikan politik ahli Parlimen dan ahli politik, tanpa reformasi sebenar, maka rakyat mungkin terpaksa mencari perubahan di tempat lain,” tambahnya.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top