Umum

Laporan gangguan seksual, KP APMM sedia beri kerjasama

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kes dakwaan gangguan seksual seperti yang tular pada Selasa.

Perkara demikian dinyakatakan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat APMM yang turut berkata, tindakan seorang wanita yang membuat laporan polis berhubung dakwaan itu adalah bermotifkan peribadi dan boleh mencemarkan reputasi serta maruah ketua pengarah dan keluarga, selain imej Maritim Malaysia sebagai sebuah agensi penguatkuasa.

“Sehubungan itu, pihak Ketua Pengarah akan memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, APMM turut meminta kerjasama orang ramai untuk menghentikan penularan laporan polis berkenaan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses keadlian bagi semua pihak.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan telah membuka kertas siasatan bagi melihat kes itu, dan telah memanggil individu berkaitan bagi membantu proses siasatan.

Terdahulu, tular sesalinan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai penasihat kewangan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 November lalu.

Antara lain, Laporan berkenaan telah menyatakan bahawa wanita itu menjadi mangsa kepada gangguan seksual ketua pengarah agensi penguatkuasaan bergelar Datuk itu.

Turut dilaporkan, selain mengeluarkan kata-kata berbaur lucah, ketua pengarah itu juga dikatakan telah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke, namun ditolak olehnya.

Wanita itu menyatakan amaran untuk tidak diganggu tidak diendahkan, malah diteruskan dan mendakwa Datuk berkenaan meneruskan gangguan dengan menghantar kira-kira 10 video serta gambar lucah melalui mesej melalui telefon bimbit.

PALING POPULAR

To Top