Umum

Tiada subsidi bagi pengguna domestik yang menggunakan elektik berlebihan

Hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan sebelum ini juga menolak menaikkan tarik elektrik sepertimana yang ingin dilakukan kerajaan terdahulu.

Ia bertujuan mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.

“Umpama rumah tiga kipas, empat penghawa dingin, dia harus bayar kos sebenar dan tidak gunakan subsidi.

“Maknanya golongan M40 dan B40 tidak dinaikkan, tapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik tinggi akan dikenakan bayaran ikut kos harga pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin.

Sebelum ini ujarnya kerajaan juga bersetuju tidak menaikkan tarif elektrik kecuali kepada pihak industri sektor tertentu.

“Kita mula pada awal tahun ini tentang keputusan kita menolak cadangan kerajaan terdahulu menaikkan harga elektrik, jadi kita kekalkan untuk M40 dan B40.

“(Hanya) dikenakan kenaikan bagi kilang-kilang besar, melainkan ada kaitan dengan pertanian dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).

“Jangan kata tidak ada kenaikan bagi 90 peratus rakyat tapi ada kenaikan rumah-rumah menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penghawa dingin banyak,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dilihat semula pada masa depan kerana golongan ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

Ujarnya, negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

PALING POPULAR

To Top