Umum

Lelaki didenda RM1,500 menjual senjata tiruan

Gambar Hiasan

Seorang lelaki berusia 33 tahun didenda RM1,500 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di Melaka kerana menjual senjata tiruan termasuk pistol dan rifle.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hamdihafizi Ab Karim, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Hamdihafizi dituduh memiliki 41 pucuk senjata tiruan seperti pistol, rifle, shotgun, termasuk busur dan ball bearing tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jebat Street Klebang, Melaka, sekitar jam 10 malam pada 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 sekiranya disabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan jumlah denda yang rendah dengan alasan dia tidak tahu memiliki senjata tiruan adalah menyalahi undang-undang dan memerlukan lesen yang khusus.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran dan tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

Beliau turut memohon kebenaran mahkamah melupuskan kesemua senjata tiruan berkenaan.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar denda serta membenarkan permohonan yang diminta pihak pendakwaan.

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top