Umum

Penguatkuasa dipercayai minta habuan seks ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang anggota sebuah agensi penguatkuasa di Johor kerana disyaki meminta habuan dalam bentuk seks.

Menurut laporan media, terdapat sumber yang berkata, lelaki berkenaan yang ditahan malam tadi, dipercayai meminta habuan seks sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Menurut sumber itu lagi, lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20-an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru sekitar jam 7.30 malam, hari Khamis.

Wanita tersebut dipercayai diminta habuan seks oleh lelaki tersebut bagi mengelakkan diambil tindakan apabila gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguatkuasa berkenaan.

“Wanita tersebut pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguatkuasa di Johor Bahru,” kata sumber berkenaan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 13 November terhadap suspek.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman telah mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

 

 

PALING POPULAR

To Top