Umum

Lelaki usia 42 tahun tikam, bunuh ibu bapa sendiri

Gambar Sumber

Pasangan suami isteri warga emas ditemukan maut setelah dipercayai ditikam oleh anak lelaki kandung sendiri dalam rumah mereka di Kampung Sungai Penchala malam ini (Sabtu).

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Menurut sumber, berlaku pergaduhan antara pasangan itu dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah sebelum kejadian.

Dipercayai semasa pergaduhan itu, suspek dikatakan telah mengambil senjata tajam dan menikam kedua ibu bapa yang menyebabkan pasangan warga emas itu mengalami kecederaan parah.

Sumber itu mendedahkan, saksi yang menyedari kejadian telah segera bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, kedua mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tibanya pasukan polis di tempat kejadian.

Menurutnya, polis telah berjaya menahan suspek di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Media turut melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan kejadian pembunuhan membabitkan ibu dan bapa.

“Suspek adalah anak kepada mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, polis mengesahkan suspek yang membunuh ibu bapanya di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala, dekat sini pada Sabtu mempunyai sembilan rekod kes jenayah dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkongsi suspek telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dengan lokasi kejadian.

Menurutnya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah melakukan gerakan memburu suspek.

Beliau berkata suspek telah berjaya ditangkap jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuh Raya Sprint menghala ke Kuala Lumpur.

PALING POPULAR

To Top