Umum

Lima individu ditipu libat kerugian lebih RM600,000

Seramai lima individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan kes berasingan dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM617,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Yoosuf berkata, kesemua individu tersebut masing-masing menjadi mangsa penipuan tawaran komisen lumayan melalui pembelian mata wang bitcoin, skim pelaburan saham, Macau Scam, Parcel Scam dan skim pelaburan dinar emas dalam tempoh Ogos sehingga Disember lalu.

Menurutnya, dalam kejadian akhir Disember lalu, salah seorang mangsa yang juga guru berusia 37 tahun telah diperdaya dengan tawaran kerja sambilan sebagai penulis ulasan tempat menarik yang diterima melalui aplikasi WhatsApp dengan tawaran RM8 bagi setiap ulasan.

“Mangsa yang telah menyelesaikan lima tugasan itu kemudian diberikan tugasan baharu membeli mata wang bitcoin daripada suspek dengan tawaran komisen lumayan.

“Mangsa telah terpedaya sehingga membuat 13 transaksi pembayaran ke 13 akaun bank berasingan sebelum menyedari ditipu sehingga kerugian RM139,364,” katanya sambil memberitahu mangsa membuat laporan pada Selasa.

Ramli berkata, dalam kes kedua, seorang peniaga haiwan peliharaan rugi RM154,367 selepas tertarik dengan keuntungan sehingga 28.4 peratus melalui skim pelaburan saham yang diperkenalkan kenalan Facebook awal Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa telah membuat 15 transaksi bayaran kepada akaun bank berasingan seperti diarahkan, namun menyedari ditipu selepas gagal menerima keuntungan seperti dijanjikan, malah wang pelaburan turut lesap.

Sementara itu, pihaknya memberitahu turut menerima laporan polis daripada seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan pada Selasa selepas menjadi mangsa penipuan kiriman barangan melibatkan kerugian RM135,520, manakala seorang pemandu lori berusia 58 tahun pula kerugian RM127,800 apabila diperdaya individu menyamar pegawai polis, pertengahan Disember lalu.

Ramli berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek sebelum dimaklumkan semua akaun banknya akan dibekukan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

“Bagi membantu menyelesaikan kesnya itu, suspek mengarahkan mangsa mengisi maklumat melalui pautan yang dihantar bersama bayaran RM127,800 yang dibuat melalui lima transaksi,” jelasnya lagi.

Dalam kes pada Ogos lalu katanya, seorang kontraktor turut mengalami kerugian RM60,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan dinar emas diasaskan dua lelaki yang dikatakan beroperasi dari Papua, Indonesia yang turut menjanjikan keuntungan lumayan.

Ramli berkata, mangsa telah membuat empat transaksi bayaran, namun gagal menerima sebarang bayaran keuntungan seperti dijanjikan. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top