Umum

Penjawat awam ditipu lebih RM800,000 oleh sindiket Macau Scam

Gambar Hiasan

Seorang wanita penjawat awam kerugian lebih RM822,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan syarikat penghantaran barang sejak seminggu yang lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata polis menerima laporan daripada wanita berusia 33 tahun itu pada hari Rabu selepas mendapati wang dalam akaunnya telah berkurangan.

Beliau berkata mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tempatan yang mengaku dirinya sebagai pekerja di pejabat pos di Perlis, memaklumkan mangsa telah membuat kiriman barangan iaitu dokumen diri dan kad bank ke Miri, Sarawak.

Lelaki terbabit kemudiannya memaklumkan kepada mangsa kemungkinan maklumat peribadi mangsa digunakan orang lain dan mengarahkan wanita itu berhubung dengan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek turut mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah melibatkan kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah, serta meminta maklumat peribadi dan perbankan milik wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan ahli sindiket Macau Scam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada dakwaan pihak tidak dikenali yang mengaitkan anda dengan mana-mana kes jenayah. Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

PALING POPULAR

To Top