Umum

Malaysia negara menua, kerajaan digesa sediakan pakar geriatrik mencukupi

Gambar Hiasan

Pakar kesihatan menggesa kerajaan meyediakan jumlah pakar geriatrik yang mencukupi apabila Malaysia menjadi negara menua menjelang 2047.

Menurut Dr Osman Ali dari Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP), langkah itu bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diteruskan apabila 14% daripada populasi negara terdiri daripada individu berusia 65 tahun ke atas.

“Selain kemudahan hospital untuk warga tua dengan pakar geriatrik mencukupi, pelbagai prasarana awam perlu sesuai untuk warga emas ini disediakan,” katanya dilaporkan FMT.

Media melaporkan pada Oktober 2023, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang mendedahkan Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 34 pakar geriatrik di seluruh negara yang tidak mencukupi mengikut nisbah disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia yang akan menjadi negara menua harus mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti kesihatan, farmaseutikal, dan infrastruktur kondusif.

Osman setuju dengan gesaan supaya fokus diberi kepada penyediaan infrastruktur kondusif kerana langkah itu dapat membantu mengurangkan kesan sampingan kepada warga emas.

Beliau mencadangkan aspek perlu dititikberatkan termasuk penyediaan kemudahan pembelajaran bagi warga emas di kawasan awam termasuk rumah ibadat.

“Pembelajaran berterusan untuk golongan ini sangat penting bagi mengelakkan demensia dan kemurungan, kalau boleh sediakan di masjid, gereja dan rumah ibadat lain,” katanya.

Malaysia Health and Humanity Organisation turut bersetuju dengan gesaan tersebut sambil memetik laporan statistik yang menunjukan populasi berumur 65 tahun ke atas meningkat dari 7.2% pada 2022 kepada 7.4% pada 2023.

Pengerusi organisasi tersebut, Dr Alan Raman ketika dihubungi NH Online berkata beliau menerima baik kenyataan Perdana Menteri berkaitan mengutamakan pelaburan ke arah kesihatan, farmaseutikal, dan infrastruktur kondusif, selain menyatakan penekanan perlu diberikan dalam memastikan kemudahan yang disediakan mudah diakses oleh warga menua.

“Warga emas mempunyai limitasi tersendiri, ketersampaian kemudahan infrstruktur kepada golongan ini harus dititikberatkan,”ujarnya.

 

PALING POPULAR

To Top