MANCHESTER CITY telah menggantung khidmat Benjamin Mendy sementara menunggu siasatan setelah Cheshire Constabulary menuduh pemain itu dengan empat tuduhan merogol dan satu tuduhan serangan seksual.

Tuduhan terhadap bek kiri berusia 27 tahun itu berkaitan dengan tiga pengadu berusia lebih dari 16 tahun, dengan insiden yang didakwa berlaku antara Oktober 2020 dan 21 Ogos, menurut laporan polis.

“Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) telah memberi kuasa kepada Cheshire Constabulary untuk mendakwa seorang lelaki berkaitan dengan tuduhan melakukan serangan seksual,” kata satu kenyataan polis yang disahkan semalam.

“Benjamin Mendy, berusia 27 tahun, telah didakwa dengan empat tuduhan rogol dan satu tuduhan melakukan serangan seksual.

“Tuduhan tersebut berkaitan dengan tiga pengadu yang berusia lebih dari 16 tahun dan didakwa berlaku antara Oktober 2020 dan Ogos 2021.

“Mendy, dari Withinlee Road, Prestbury, telah direman dalam tahanan polis dan akan hadir di Mahkamah Majistret Chester pada hari ini.

“Cheshire Constabulary dan CPS ingin mengingatkan semua orang bahawa prosiding jenayah terhadap Mendy dijalankan dan bahawa dia mempunyai hak untuk perbicaraan yang adil.

“Adalah sangat penting bahawa tidak ada pelaporan, komen atau perkongsian maklumat dalam talian yang dengan cara apa pun boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.”

Berdasarkan tuduhan itu, City mengeluarkan kenyataan yang mengatakan, “Manchester City dapat mengesahkan bahawa setelah dia didakwa oleh polis hari ini, khidmat Benjamin Mendy digantung sementara menunggu siasatan.

“Perkara itu dikenakan proses undang-undang dan oleh itu kelab tidak dapat memberikan komen lebih lanjut sehingga proses itu selesai.”