Umum

Mana nak korek duit naikkan caruman 20 peratus?

Cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini, disifatkan akan membebankan majikan yang bergelut dengan ekonomi mencabar.

Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, cadangan itu akan membabitkan nilai kos tambahan yang besar kepada majikan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menurutnya, ada lebih 90 peratus perniagaan di negara ini membabitkan industri berkenaan yang terjejas ketika pandemik Covid-19 lalu.

Katanya, sehingga kini kebanyakannya masih bertahan dengan pendapatan bulanan tanpa simpanan selepas pandemik malah ada juga industri yang terpaksa ditutup sebelum ini.

“Kami tiada bantahan jika kerajaan mahu menambah nilai untuk mana-mana kumpulan tetapi perniagaan ketika ini tidak mampu menampung kos tambahan.

“Kos operasi semakin meningkat, margin dalam perniagaan semakin menurun, peluang perniagaan baru tidak menggalakkan dan dengan semua isu global dan lokal, perniagaan semakin ‘menderita’.

“Syarikat besar, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mungkin tidak mempunyai isu yang begitu besar tetapi PMKS menghadapi isu itu setiap hari,” katanya tadi.

Dia berkata, pihaknya juga berpandangan adalah tidak adil jika caruman KWSP ditambah daripada pihak majikan saja dan sebarang kenaikan caruman perlu membabitkan daripada majikan dan pekerja kerana ia adalah tanggungjawab kolektif.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat melihat cadangan berkenaan secara menyeluruh termasuk kesan kepada majikan terutama daripada aspek pandangan PMKS dan tidak menyamaratakan isu.

“Walaupun ada hasrat untuk menaikkan kadar caruman KWSP, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri dan menyerap kenaikan kos itu.

“Cadangan untuk meningkatkan caruman KWSP majikan bagi pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan memerlukan perbincangan dan perundingan lanjut dengan pihak berkepentingan supaya pandangan majikan akan dipertimbangkan sepenuhnya sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, cadangan berhubung perkara itu akan dibincang oleh kerajaan dan turut memaklumkan ia sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top