Buletin

SRC peroleh injunksi mareva halang Najib pindahkan aset bernilai sehingga RM42 juta

SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai sehingga RM42 juta.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin pada satu prosiding dalam talian hari ini selepas membenarkan permohonan SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd yang merupakan plaintif pertama dan kedua dalam saman SRC ke atas Najib selaku defendan.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Mahkamah mengarahkan Najib, 68 supaya tidak mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sehingga keputusan akhir saman itu dikeluarkan.

Selain daripada itu mahkamah juga mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu mendedahkan kepada peguam SRC (plaintif) secara bertulis aset beliau di dalam atau di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan kepada Najib.

Bekas perdana menteri itu juga dibenarkan mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman yang mahkamah ini menyatakan ia adalah termasuk perintah injunksi mareva sementara diperoleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mohd Arief Emran juga menetapkan pengurusan kes pada 13 Mei depan.

Seorang peguam daripada Tetuan Rosli Dahalan Saravana Partnership yang mewakili SRC ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah itu.

Pada 8 Feb, 1MDB dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Najib daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga US$681 juta.

Bagaimanapun pada 18 Feb, Najib memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi mareva itu. Pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 6 Mei depan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah menyelewengkan RM42 juta dana SRC. Kes ini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top