Umum

Mencuri di pasar raya, seorang instafamous dipenjara dan didenda

Gambar Hiasan

Seorang bergelar ‘Instafamous’ dipenjara sehari dan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada hari Khamis kerana mencuri beberapa barangan bernilai lebih RM100 di sebuah pasar raya.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rumaisyah Yahya berusia 31, yang mengaku bersalah mencuri beberapa barangan di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Suria KLCC, sekitar jam 4.30 petang, pada 1 November.
Antara barangan yang dicuri termasuk penyangkut baju, ubat gigi dan minuman berjumlah keseluruhan RM108.18
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar yoga telah mengambil beberapa barang lalu memasukkannya ke dalam beg yang dibawa, namun dia tidak membuat pembayaran bagi barangan tersebut sebelum berjalan ke bahagian lain dan terus keluar dari pasar raya itu.
Pengawal keselamatan kemudian menahan tertuduh sebelum pemeriksaan mendapati beg yang dibawa mempunyai beberapa barangan milik pasar raya yang tidak mempunyai resit pembelian.
Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara ibu berusia 65 tahun yang merupakan pesakit darah tinggi.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan barang yang diambil hanyalah barang keperluan asas sahaja. Anak guam telah insaf dan mohon diberikan peluang kedua,” kata Muhammad Rhastdan.

PALING POPULAR

To Top