Umum

AirAsia meterai perjanjian bernilai RM29.7 juta bawa pasukan Malbatt 850

Gambar Mindef

AirAsia X Bhd (AAX) telah menandatangani perjanjian sewa khas penumpang dan sampingan bagi membawa pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850 ke Beirut, Lubnan mulai 1 Oktober 2023 hingga 30 Septermber 2026 dengan jumlah kontrak bernilai RM29.70 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari Khamis, AAX menjelaskan perjanjian itu turut merangkumi penerbangan pergi balik bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Lubnan (UNIFIL) di negara itu.
Menurutnya, operasi sewa khas itu melibatkan 4 penerbangan sewa khas pergi balik pada setiap tahun antara Lapangan Terbang Subang TUDM dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri dengan kapasiti tempat duduk sekurang-kurangnya 270 penumpang, selain makanan dalam penerbangan, muatan sebanyak 18 tan dan insurans.
Operasi sewa khas ini turut melibatkan perkhidmatan sampingan seperti menyediakan penginapan dan perkhidmatan “door to door” untuk membawa pasukan Malbatt dan kakitangan awam serta bagasi dan kargo daripada pangkalan masing-masing di Kuantan, Pahang dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke TUDM Subang dan sebaliknya.
Katanya lagi, jumlah kontrak ini akan dibayar dalam tempoh tiga tahun. Setelah selesai operasi tahunan carter berkenaan, AAX perlu menyediakan invois kepada Air Asia Berhad (AAB) bagi amaun berkaitan yang perlu dibayar bagi empat operasi pada tahun berkenaan.
Sehubungan itu, AAB diberikan kontrak itu susulan proses tender Kementerian Pertahanan yang terbuka kepada semua syarikat penerbangan di Malaysia.
“Memandangkan AAX tidak mempunyai akaun sah dengan MOF, tender itu telah dikemukakan oleh AAB berdasarkan penentuan harga oleh AAX. Jumlah urus niaga antara syarikat dan pihak berkaitan dan/atau individu berkaitan mereka bagi 12 bulan sebelumnya adalah RM360,546.79,” kata AAB.

PALING POPULAR

To Top