Umum

Menteri PN tolak cadangan PRU-15 tahun ini

Sekurang-kurangnya 12 menteri yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan menolak cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun ini, yang dijangka dibincangkan pada mesyuarat Kebinet esok (Rabu, 21 September 2022).

Semua menteri berkenaan mewakili Bersatu dan PAS, tidak termasuk beberapa menteri daripada UMNO serta parti lain dari Sabah dan Sarawak, yang sebelum ini dilihat turut tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima tekanan hebat daripada partinya, UMNO, untuk mengadakan PRU-15 tahun ini dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Kabinet berhubung perkara itu esok.

Mengulas perkara itu hari ini (19 September), Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata wakil parti itu dalam kerajaan akan mencadangkan agar PRU-15 tidak diadakan tahun ini.

“Tidak perlu adakan PRU-15, lebih-lebih lagi bila (menghampiri) musim banjir.

“Kita sudah tahu akan berlaku banjir dan ia akan menyukarkan pengurusan pilihan raya,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

PAS juga kata Idris, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga sekitar Mac 2023 apabila penggalnya tamat.

Semalam, Ismail Sabri berkata Kabinet mempunyai wakil pelbagai parti termasuk UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu bagi membolehkan hal berkaitan PRU-15 dibincangkan,

Menurutnya memandangkan Rabu ini terdapat Mesyuarat Kabinet sebelum beliau berlepas ke New York, Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mungkin perbincangan berkaitan perkara itu dengan Kabinet boleh diadakan terlebih dahulu sebelum pertemuan “Top 5” UMNO bagi membincangkan perihal PRU-15.

Mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan itu.

Ismail Sabri berkata beliau masih belum mengadakan pertemuan dengan Top Five UMNO bagi membincangkan hal berkaitan PRU15.

“Dari segi PRU, waktu perhimpunan Barisan Nasional saya ada sebut PRU akan diadakan dalam waktu terdekat… beri masa dan tunggulah sehingga saya jumpa Top Five dan Presiden UMNO,” katanya.

Top Five merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, mendesak Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, mengadakan PRU-15 tahun ini walaupun dalam situasi banjir.

Zahid dilaporkan berkata walaupun PRU-15 diadakan ketika musim banjir, BN sedia berkempen untuk memenangi pilihan raya.

“Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar parlimen, banjir pun kita sanggup redah untuk berkempen. Sewaktu banjir Pemuda Wanita, Puteri, BN turun lebih ramai dari parti lain.

“Sanggup ke turun? Sanggup berkempen masa banjir? Sanggup kempen masa hujan leba? Sanggup kempen masa ribut taufan? Saya nak tengok siapa yang sanggup?” kata Zahid ketika berucap sempena pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa pada 17 September lalu.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top