Umum

Mesyuarat pra-kabinet terakhir Agong dan PM sebelum tamat tempoh pemerintahan

Gambar Facebook

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang ini.

Dalam satu hantaran di Instagram dan Facebook rasmi Istana Negara, ia memaklumkan sesi itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin khususnya Sultan Abdullah kerana ia adalah mesyuarat terakhir sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari ini.

Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali termasuk sesi hari ini, dengan empat perdana menteri.

Turut hadir pada sesi hari ini Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama berlangsung pada 13 Februari 2019.

Mesyuarat itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri mengenai urusan serta isu berkaitan kerajaan.

Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 bagi tempoh lima tahun.

 

 

PALING POPULAR

To Top