Umum

SPRM sahkan dapat kebenaran dakwa Tun Daim

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin sejak seminggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Daim sepatutnya sudah boleh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM telah berhubung dengan peguam Daim, namun pihaknya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital atas alasan tidak dinyatakan.

“Pihak SPRM sedang menyiapkan pertuduhan, tetapi beliau (Daim) telah dimasukkan hospital dan tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.

“Oleh sebab demikian, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan buat masa ini dan kita akan melihat kepada keadaan semasa.

“Namun begitu, kita di SPRM tetap akan menuduhnya pada masa yang sesuai,” katanya pada Rabu.

Azam bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat pertuduhan terhadap Tun Daim.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora yang sudah dimulakan sejak Februari lalu.

Daim mendakwa telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

 

PALING POPULAR

To Top