Buletin

‘Mimpi ngeri’ tahun lalu tidak mungkin berulang

Beberapa pakar epidemiologi dan virologi mengunjurkan kes harian COVID-19 terus melonjak dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, susulan penularan varian Omicron yang semakin dominan.

Bagaimanapun, mereka percaya ‘mimpi ngeri’ pertengahan tahun lalu yang menyaksikan hospital dan unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara menghampiri kemuncak, tidak akan berulang meskipun kes harian melonjak.

Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, optimis situasi tahun lalu tidak akan berulang berikutan liputan vaksinasi di Malaysia yang tinggi ketika ini.

Katanya, ia terbukti apabila jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital, ICU dan kes kematian masih dalam pola menurun walaupun jumlah kes harian melonjak sejak lebih dua minggu lalu.

“Secara umum, situasi semasa tidak begitu mencemaskan berbanding ketika gelombang jangkitan Delta tahun lalu, serta ketika kita belum ada vaksin COVID-19.

“Kita lihat sekarang tahap keparahan kes COVID-19 dan magnitud bebanan penyakit ini tidak seperti pada 2020 dan tahun lalu, berdasarkan jumlah kes di hospital, ICU dan kematian semasa.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil ringan Omicron kerana kadar kebolehjangkitannya adalah tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi daripada Delta.

“Ini memberi ancaman kepada individu yang belum menerima vaksin.

“Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, data menunjukkan individu yang belum divaksin masih mendapat komplikasi serius dan terdedah kepada risiko kematian apabila dijangkiti Omicron,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas lonjakan kes harian COVID-kepada lebih 10,000 kes hari ini, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes selama lebih lima minggu sejak pertengahan Disember tahun lalu, dipercayai akibat varian Omicron.

Bagaimanapun, lonjakan itu dilihat tidak menjejaskan sistem kesihatan awam setakat ini apabila kadar penggunaan ICU hospital, kes kematian dan jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan kekal dalam pola menurun.

Setakat semalam, 97.9 peratus atau lebih 22.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di Malaysia sudah lengkap divaksin, dengan 52.6 peratus atau lebih 12.3 juta penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, 88.7 peratus atau lebih 2.79 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula sudah lengkap divaksin.

Dr Malina menjangkakan kes harian COVID-19 terus melonjak dalam tempoh dua minggu akan datang sehingga liputan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak dan dos penggalak masing-masing mencecah sekurang-kurangnya 70 peratus.

“Kes akan turun apabila liputan vaksinasi bertambah. Cabarannya ketika ini adalah meyakinkan golongan yang enggan anak mereka divaksin dan yang takut dengan dos penggalak.

“Saya harap orang ramai dengar pandangan pakar kanak-kanak yang menggalakkan pengambilan vaksin, manakala golongan bukan pakar kanak-kanak tidak perlu keluarkan kenyataan mengelirukan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, pakar virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berpandangan adalah hampir mustahil untuk mengekang lonjakan kes harian ketika ini.

Katanya, ia berikutan aktiviti ekonomi dan pergerakan penduduk sudah hampir seperti keadaan biasa manakala pertambahan kes itu tidak membimbangkan sekiranya ia tidak memberi kesan pada kadar kemasukan ke hospital, ICU dan kematian.

“Secara relatifnya, kadar kematian akibat Omicron adalah rendah. Misalnya di AS dan United Kingdom, jumlah kes mencecah 100,000 sehari namun kematian adalah sekitar 300.

“Di Malaysia juga 11 kematian berbanding kes melonjak kepada lebih 9,000 pada Jumaat lalu. Peratusan ini amat rendah,” katanya.

Selain faktor vaksinasi yang tinggi, beliau percaya jangkitan semasa tidak separah tahun lalu kerana Omicron lebih cenderung menyerang sistem pernafasan atas seperti tekak dan anak tekak, berbanding paru-paru.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top